Ahad, 15 April 2012

MUSIBAH UJIAN PENGHAPUS DOSA~DOSA...

LUMRAH kehidupan manusia memang tidak dapat lari daripada menerima ujian.
Setiap ujian yang Allah timpakan kepada manusia mempunyai pelbagai hikmahnya. Allah menguji hamba-Nya dengan penyakit, bencana, kekurangan harta, kematian, kekayaan dan sebagainya untuk melihat sejauh mana tahap keimanan seseorang. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah menyayangi seseorang hamba-Nya, Allah menguji dengan kesusahan sama ada pada diri, keluarga, anak mahupun pada harta supaya dibersihkan daripada dosanya. Sekiranya dosa masih ada Allah akan membuatkan matinya menjadi susah supaya apabila bertemu Allah dalam keadaan tidak berdosa." Begitulah juga sebagai hamba apabila berhadapan dengan ujian dan musibah ia pasti mempunyai pengajaran untuk kebaikan manusia itu sendiri. Musibah yang didatangkan itu bertujuan keampunan daripada dosa. Allah begitu sayang kepada hamba-Nya melebihi dari kasih sayang yang diberikan oleh seorang ibu kepada anak.
Walaupun hamba-Nya banyak melakukan kemungkaran dan dosa tetapi Allah tetap memberi peluang untuk bertaubat. Maka nilai kesabaran dan reda ketika menerima ujian akan dinilai Allah sebagai penghapusan dosa.
Pada masa sama ada keterangan dan ayat yang menyatakan dosa menjadi penyebab datangnya bala. Kalau dilihat sejarah lampau, mengapakah Allah menimpakan azab kepada kaum Nabi Nuh? Pada ketika itu mereka ditimpa ujian banjir besar selama lebih enam bulan. Begitu juga dengan kaum Nabi Luth di mana Allah terbalikkan lapisan bawah bumi naik ke atas, manakala yang atas dibenamkan ke perut bumi. Malah kesannya sehingga kini masih dapat dilihat di Laut Mati, Jordan. Lihat pula kaum Aad dan Thamud mati terkapar terputus jantung mereka kerana terkejut bunyi gempita suara tempikan malaikat. Pernahkah kita membaca sejarah Qarun yang tenggelam bersama kekayaannya hinggakan membentuk satu tasik yang amat besar dengan airnya laksana lautan? Pantai yang bertentangan tidak kelihatan kerana luasnya. Begitu juga Firaun yang gah ingin merebut segala gelaran hinggakan mahu menjadi Tuhan. Akhirnya, dia bukan saja tenggelam keseorangan di dalam laut malah segala kekuasaan, tentera dan gelarannya juga turut sekali lemas. Di sana ada seribu satu cerita kehancuran yang boleh dipelajari. Semua peristiwa ini berpunca kerana dosa. Sayangnya Allah kepada hambanya ialah segala ditimpa kepada hambanya yang lemah ini, tetap ada kebaikan walaupun sekali imbas nampaknya amat memilukan. Mereka yang mendapat petunjuk menyedari hikmah di sebalik ujian. Ujian ada dua jenis. Pertama namanya bala dan yang kedua ibtila. Ibtila adalah kepayahan dan bencana yang menimpa dalam bentuk 'ujian' manakala bala ialah bencana dan kesusahan ditimpa dalam bentuk 'hukuman'. Ibtila yang melanda selepas menderita kepayahan dan keperitan adalah hukuman kepada mereka yang ingkar. Maka kita perlu sentiasa mengingati setiap tragedi seperti kejadian gempa bumi itu sebagai muhasabah diri. Sama-sama kita bertaubat atas dosa silam yang pernah dilakukan. Keinsafan yang dikongsi di sini ialah kita tidak mempunyai kuasa, kita adalah insan lemah dan masih banyak lagi perkara yang 'ghaib' yang gagal dikesan oleh radar dan kecanggihan. Bukan saja tidak sempat bersedia untuk mengelak musibah malah ramalan kita juga tidak tentu tepat dan berkesan. Petanda awal muncul tidak sempat dibaca. Allah yang Maha Kuasa. Sebagai hamba amat malang jika kita hendak beradu kuasa dengan Allah. Allah amat penyayang. Namun, Allah sangat marah kepada yang ingkar dan tidak ikut petunjuk selepas diberi peringatan. Allah ada peraturan yang mesti diikuti. Kalau orang langgar peraturan jalan raya ada akibatnya, langgar peraturan kerja ada kesannya apatah lagi melanggar peraturan Allah. Hanya kepada Allah tempat kita kembali merayu kerana Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hamba-Nya. Disamping berdoa kita juga perlu berusaha keras menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

As Salam semua...
Sila2 la tinggalkan komen anda...
terima Kasih....